2. Hal ini tidaklah memeranjatkan kerana Perdana Menterinya, Anwar Ibrahim, sejak zaman berzaman menampilkan diri beliau sebagai seorang yang berfikiran terbuka, reformis dan toleran.
3. Banyak hal sedang diuji. Daripada isu politik kepada autonomi wilayah, agama, bangsa, monarki, ekonomi, LGBT, bendera, ternakan babi dan bermacam-macam lagi.
4. Yang terbaru cadangan supaya nama Keretapi Tanah Melayu ditukar. Bekas wartawan sukan, Johnson Fernandez, dalam surat yang disiarkan oleh portal Free Malaysia Today, mencadangkan namanya ditukar atas alasan "keretapi" merujuk kepada kereta api lama yang tidak digunakan lagi dan negara sendiri sudah tidak dikenali sebagai Tanah Melayu.
5. Pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menolak cadangan itu. Saya setuju dengan tindakan mereka.
6. Dengan izin, saya hendak cadangkan supaya Keretapi Tanah Melayu Berhad dijenamakan sebagai KTM saja. Semua kereta api dan aset KTMB ditulis dengan huruf KTM. Perkataan berhad digunakan hanya untuk nama korporat.
7. Buat macam British Rail. Nama kompaninya British Railway tapi jenama perniagaannya British Rail. Atau macam Kereta Api Indonesia (KAI) yang nama korporatnya PT Kereta Api Indonesia.
8. Lagi pun, boleh kata semua orang sebut KTM. Singkatan KTM itu sudah cukup baik.
9. Serentak itu, saya cadangkan supaya dikembalikan penggunaan nama Tanah Melayu dengan seluas-luasnya.
10. Kita mula dengan menggugurkan terma geografi Semenanjung Malaysia atau memperbetulkan penggunaannya. Sebagai ganti, kita kembalikan terma perlembagaan iaitu Semenanjung Tanah Melayu.
11. Sebelum penjajahan Eropah mulai 1511, Semenanjung terbahagi kepada beberapa buah negeri Melayu. British membahagikan Semenanjung kepada Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Pada tahun 1946 British tubuh Malayan Union. Raja-raja setuju tapi rakyat jelata bangkang. British tunduk kepada tuntutan ramai dan pada 1948 tubuh Persekutuan Tanah Melayu atau "Federation of Malaya". Pada tahun 1957, Persekutuan Tahah Melayu merdeka. Pada tahun 1963, Persekutuan Tanah Melayu disertai oleh Sarawak, Sabah dan Singapura bagi menubuhkan Persekutuan Malaysia (Federation of Malaysia). Tahun 1965, Singapura berpisah daripada Malaysia.
12. Sebutan Semenanjung Malaysia tidak tepat. Ia merujuk kepada unit geografi sedangkan Sarawak dan Sabah disebut mengikut identiti perlembagaan dan politik.
13. Kalau kita sebut Tanah Melayu sebagai Semenanjung Malaysia, maka kita kena sebut Sarawak dan Sabah mengikut geografinya sebagai sebahagian daripada sebuah pulau. Maka jadilah dua buah wilayah itu Kepulauan Malaysia (Insular Malaysia) atau Malaysia Borneo.
14. Catatan Wikipedia mengatakan: "Pada tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya. Pada tahun 1963, Tanah Melayu bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Pada tahun 1965, Singapura terpaksa dikeluarkan dari Persekutuan dan menjadi sebuah negara yang bebas."
15. Jadi, kita berhentilah guna nama geografi Semenanjung Malaysia dan balik kepada nama perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu atau ringkasnya Tanah Melayu.
16. Kalau kita tidak guna nama Persekutuan Tanah Melayu atau Tanah Melayu, lama kelamaan orang akan lupa. Bila orang ramai lupa, pada masa itulah orang yang benci kepada nama itu berpeluang melenyapkannya.
Sekian. Terima kasih.
0 comentΓ‘rios: